KHAIRY JAMALUDDIN DEDAH SEBAB KENAPA TIADA JUALAN TIKET ONLINE FINAL BOLA SEPAK SUKAN SEA KL2017 .. RASA BOLEH TERIMA KE ALASAN NI?

Ketika artikel ini sedang ditulis, puluhan ribu peminat bola sepak Malaysia sedang kecewa apabila dikhabarkan semua tiket final acara bola sepak Sukan SEA KL2017 sudah habis.

Ada peminat yang dikhabarkan telah beratur di Stadium Shah Alam seawal jam 5 pagi. Tetapi menjelang pukul 12 tengah hari tadi (kaunter tiket dibuka jam 11 pagi), mereka masih belum sampai ke kaunter tiket!

Ini membuatkan situasi di Stadium Shah Alam menjadi tak terkawal sehingga pagar keselamatan di sekitar kaunter tiket dirempuh oleh ribuan peminat bola sepak yang mahu mendapatkan tiket.

Petugas kaunter tiket ini hanya seorang sukarelawan yang ingin menyumbang kudrat demi tanahair menjadi mangsa makian dan carutan.

Sumber: SemuanyaBola

Apabila kaunter tiket dikerumuni oleh ribuan peminat bola sepak, jualan tiket dihentikan sebelum anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah untuk berkawal di sekitar kaunter tiket.

Selepas FRU sampai, jualan tiket yang sebelum ini dihadkan kepada 5 tiket untuk setiap pembeli ditukar kepada 2 tiket sahaja untuk setiap pembeli. 20 kaunter tiket yang pada mulanya dibuka kemudiannya dihadkan kepada 10 kaunter sahaja.

Pada pukul 5.40 petang, BERNAMA melaporkan tiket habis dijual. Ini sekaligus membuatkan lebih 5,000 penyokong terpaksa pulang kecewa.

Menteri Belia & Sukan tampil jelaskan keadaan

Kekecewaan peminat bola sepak tempatan untuk mendapatkan tiket final acara bola sepak Sukan SEA KL2017 yang bakal mempertemukan Malaysia dengan Thailand ini bertukar menjadi kemarahan apabila berleluasanya gejala ulat tiket.

Ulat-ulat tiket ini yang beratur di Stadium Shah Alam sejak jam 1-2 pagi ini dilaporkan cuba menjual tiket yang mereka beli pada harga RM21.20 kepada harga dari RM35 hingga RM1,700!

Mejoriti peminat bola sepak yang gagal mendapatkan tiket ini rata-ratanya datang dari luar Lembah Klang. Tinjauan kami di media sosial mendapati mereka paling kecewa apabila tiada peruntukan jualan tiket dalam talian (online) untuk peminat jauh seperti mereka.

Susulan keluhan ribuan penyokong kerana ketiadaan jualan tiket secara online ini, Menteri Belia & Sukan, YB Khairy Jamaluddin tampil menjelaskan sebab mengapa beliau membuat keputusan tersebut di Twitter.

“Berkenaan isu tiket final bola sepak, kita pada mulanya memang mahu menjual sebahagian tiket melalui online. Itu memang amalan kita sebelum final,” tulisnya.

“Bagaimanapun malam semalam, saya dimaklumkan oleh penyedia kemudahan gerbang pembayaran online bahawa mereka tak dapat menjamin kestabilan proses pembelian kerana jumlah [trafik] yang banyak.”

Menurut Khairy, isu yang paling menjadi kerisauannya mengenai jualan tiket secara online adalah pembeli sudah membayar, tetapi tidak mendapat tiket.

“Saya terpaksa membuat keputusan berdasarkan maklumat yang saya ada. Tanpa gerbang pembayaran online yang stabil, satu keputusan dibuat supaya semua tiket dijual di Stadium Shah Alam.”

“Sama ada anda mempunyai tiket atau tidak, apa yang penting adalah kita terus memberikan sokongan kepada atlet kita, terutamanya skuad bola sepak.”

“Takkan tak boleh jangka situasi begini?”

Bagaimanapun, jawapan YB Khairy Jamaluddin itu – walaupun menunjukkan beliau ada rasa tanggungjawab (accountability) – ia masih tidak menjawab soalan orang ramai tentang tahap kebersiap-siagaan kita sebagai penganjur acara besar seperti Sukan SEA.

Tambah mengecewakan bagi peminat bola sepak Malaysia, banyak kelemahan telah dikesan dalam sistem tiket di Sukan SEA. Salah satu isunya adalah kekurangan sekuriti dalam tiket itu sendiri.

Selain itu, terdapat juga penyokong yang menyalahgunakan kad jemputan tetamu Kementerian Belia & Sukan.

Pengasas Stubapp, penyedia platform pembelian tiket online untuk Liga Malaysia, Faisal Karim mencadangkan perkara berikut untuk menyelesaikan masalah sistem tiket yang lemah ini. Menulis di Facebook, Faisal mencadangkan:

“Luaskan distribution channel, fizikal dan juga online, dengan cara pindahkan inventori dan risiko secara kerjasama dengan pihak 3rd party, dengan kawalan, SOP dan teknologi yang betul. Organisasi boleh kurangkan kos operasi dan tingkatkan imej serta persepsi peminat.”

Beliau turut melihat perlunya ada pelaburan untuk memudahkan pengalaman pengguna membeli tiket.

“Buat pelaburan dengan menubuhkan Ticketing Department kerana penjualan tiket merupakan sumber pendapatan penting (20~30% average revenue for football club). Kalau tak mampu, lantik pegawai ticketing yang mempunyai kebebasan untuk menguruskan penjualan dengan berkesan dan kreatif.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*